Ciptaan Allah yang paling kontroversi atau paling disebut-sebut oleh makhluk Allah yang lain adalah penciptaan manusia pertama iaitu Nabi Adam A.S. Peristiwa tersebut disebut dalam Al-Qur'an apabila para malaikat mempersoalkan kejadian (manusia) sebagai khalifah atau pengganti di bumi. Ketika Allah berfirman kepada malaikat:
“Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka
bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah
Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan
membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih
dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku
mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya." (2:30)
Allah telah memerintahkan Malaikat Jibril
turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanah sebagai bahan untuk
menjadikan Adam. Walau bagaimanapun, bumi enggan membenarkan tanahnya
diambil malah bersumpah dengan nama Allah yang dia tidak rela untuk
menyerahkannya kerana kebimbangannya seperti yang dibimbangkan oleh para
malaikat.
Jibril kembali setelah mendengar sumpah tersebut lalu Allah mengutuskan pula Malaikat Mikail dan kemudiannya Malaikat Israfil tetapi kedua-duanya juga tidak berdaya hendak berbuat apa-apa akibat sumpah yang dibuat oleh bumi. Maka, Allah memerintahkan Malaikat Izrail
untuk melakukan tugas tersebut dan menggesa agar tidak berundur
walaupun bumi bersumpah kerana tugas tersebut dijalankan atas perintah
dan nama Tuhan.
Maka,
Izrail turun ke bumi dan mengatakan yang kedatangannya adalah atas
perintah Allah dan memberi amaran kepada bumi untuk tidak membantah yang
memungkinkan bumi menderhaka kepada Allah. Menurut Ibnu Abbas, tanah
bumi dan syurga digunakan untuk dijadikan bahan mencipta Adam. Tanah
tersebut adalah:
- Tanah Baitulmuqaddis - kepala sebagai tempat kemuliaan untuk diletakkan otak dan akal.
- Tanah Bukit Tursina (Mesir) - telinga sebagai tempat mendengar dan menerima nasihat.
- Tanah telaga Al-Kautsar - mata sebagai tempat menarik perhatian.
- Tanah Al-Kautsar - gigi sebagai tempat memanis-manis.
- Tanah Taif (Arab Saudi) - lidah sebagai tempat untuk mengucapkan syahadah, syukur dan doa.
PENYEMPURNAAN TUBUH MANUSIA (NABI ADAM A.S.)
Tubuh
Adam mempunyai sembilan rongga atau liang. Tujuh liang di kepala dan
dua di bawah badan iaitu dua mata, dua telinga, dua hidung, satu mulut, satu dubur dan satu uretra. Lima pancaindera dilengkapkan dengan anggota tertentu seperti mata untuk penglihatan, telinga untuk pendengaran, hidung untuk pengesanan bauan, lidah untuk perasa seperti masam, masin, manis dan pahit dan kulit untuk sentuhan bagi panas, sejuk, tekanan, kelikatan dan sakit.Ketika
Allah menjadikan tubuh Adam, tanah dicampurkan dengan air tawar, masin
dan hanyir beserta api dan angin. Kemudian Allah resapkan Nur ke dalam tubuh Adam dengan pelbagai "sifat". Lalu tubuh Adam digenggam dengan genggaman Jabarut dan diletakkan di dalam Alam Malakut. Tanah itu dicampurkan lagi dengan istilah wangian dan ramuan dari Nur-Sifat Allah dan dirasmi dengan "Bahrul Uluhiyah". Kemudian, tubuh tersebut dibenam dalam "Kudral 'Izzah" iaitu sifat "Jalan dan Jammal"
lalu disempurnakan tubuh tersebut.Waktu kejadian manusia tidak disebut
berapa lama walaupun melalui apa cara perhitungan sekalipun seperti
dalam al-Quran: "Bukankah
telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar),
sedang dia (masih belum wujud lagi dan) tidak menjadi sesuatu benda yang
disebut-sebut..." (76:1)
Menurut
keterangan ulama, tubuh Adam diselubungi dalam tempoh 120 tahun, 40
tahun di tanah yang kering, 40 tahun di tanah yang basah dan 40 tahun di
tanah yang hitam dan berbau. Dari situ, Allah ubah tubuh Adam dengan
rupa kemuliaan dan tertutuplah dari rupa hakikatnya. Kerana proses
kejadian itu yang melalui peringkat yang "kotor", tidak hairan Malaikat dan Iblis memandang rendah akan kejadian manusia yang dicipta dari tanah.
KEMASUKAN ROH KE DALAM TUBUH MANUSIA (NABI ADAM A.S)
Allah memerintahkan Roh untuk memasuki jasad Adam seperti makhluk lain. Roh juga enggan, malas dan segan kerana jasad yang seperti batu. Dikatakan Roh berlegar-legar mengelilingi jasad Adam sambil disaksikan malaikat. Kemudian, Allah memerintahkan Malaikat Izrail memaksa Roh
memasuki tubuh tersebut masuk ke dalam tubuh Adam. Ia memasukkannya ke
dalam tubuh dan roh secara perlahan-lahan masuk hingga ke kepalanya yang
mengambil masa 200 tahun. Setelah meresapi ke kepala Adam, maka
berfungsilah otak dan tersusunlah urat saraf
dengan sempurna. Lalu, terjadilah mata dan terus terbuka melihat
tubuhnya yang masih keras dan malaikat di sekelilingnya. Telinga mulai
berfungsi dan didengarnya kalimah tasbih para malaikat. Apabila Roh tiba ke hidung, lalu ia bersin dan mulutnya juga terbuka. Allah mengajarkan kalimah "Alhamdulillah" yang merupakan kalimah pertama diucapkan Adam dan Allah sendiri yang membalasnya.Kemudian, Roh tiba
ke dadanya lalu Adam berkeinginan untuk bangun padahal tubuhnya yang
bawah masih keras membatu. Ketika itu ditunjukkan sifat manusia yang
terburu-buru. Ketika Roh sampai di perut, maka organ dalam dan perut tersusun sempurna dan saat itu Adam mula merasakan lapar. Akhirnya, Roh
meresap ke seluruh tubuh Adam, tangan dan kaki dan berfungsilah dengan
sempurna segala darah daging, tulang, urat saraf dan kulit. Menurut
riwayat, kulit Adam amat baik ketika itu berbanding kulit manusia di
kini dan warnanya masih dapat dilihat di kuku sebagai peringatan kepada
keturunan manusia.
Dengan itu, sempurnalah sudah kejadian manusia pertama iaitu Adam & digelar sebagai "Abul Basyar" iaitu Bapa Manusia. Walau bagaimanapun, hanya Nabi Muhammad S.A.W. mendapat gelaran "Abul Ruh" atau "Abul Arwah" iaitu Bapa segala Roh.
:- Rujukan artikel daripada wikipedia.org
Post a Comment
Terimakasih bila Anda menuliskan komentar disini