Haji Abdul Malik Bin Haji Abdul Karim Amarullah ( HAMKA).
Pengenalan
Tokoh dari tanah
seberang ini sengaja dipilih untuk disisipkan dalam koleksi ini kerana
Almarhum Haji Abdul Malik Bin Haji Abdul Karim Amarullah atau dikenali
sebagai Prof. Dr Hamka adalah ulama besar Nusantara yang sangat
terkenal. Lebih-lebih lagi beliau berasal dari tanah Minangkabau yang
mempunyai pertalian dengan masyarakat adat perpatih di Negeri Sembilan.
Setiap orang di negara ini yang pernah melihat dan mendengar kuliah
agama yang disampaikan oleh tokoh ini pastinya merasai kerinduan yang
mendalam terhadap nastolgia lampau. Penyusun sendiri tanpa sedar boleh
menitiskan airmata apabila tokoh ‘idola’ ini tersedu dalam ceramah
dakwahnya di kaca TV kira-kira awal tahun 1970an dahulu. Gayanya yang
tersendiri dalam berdakwah amat memukau sekali bagai magnet yang boleh
menyentuh hati setiap insan yang mendengar.
Latar Belakang Ulama
Haji Abdul Malik
Karim Amrullah (atau lebih dikenal dengan julukan HAMKA, yakni singkatan
namanya), lahir tahun 1908, di desa kampung Molek, Maninjau, Sumatera
Barat, dan meninggal di Jakarta 24 Juli 1981, adalah sastrawan
Indonesia, sekaligus ulama, dan aktivis politik.
Belakangan ia
diberikan sebutan Buya, yaitu panggilan buat orang Minangkabau yang
berasal dari kata abi, abuya dalam bahasa Arab, yang berarti ayahku,
atau seseorang yang dihormati.
HAMKA (1908-1981),
adalah lebih terkenal daripada nama sebenar. Beliau adalah seorang
ulama, aktivis politik dan penulis Indonesia yang amat terkenal di alam
Nusantara. Beliau lahir pada 14 Muharram 1326H bersamaan 17 Februari
1908 di kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Ayahnya
ialah Syeikh Abdul Karim bin Amrullah atau dikenali sebagai Haji Rasul,
seorang pelopor Gerakan Islah (tajdid) di Minangkabau, yang tersohor dan
dianggap pula pembawa reformasi Islam ( kaum muda). Menariknya pula,
datuk beliau adalah ulama tarekat yang bersuluk terkenal. Tuan Kisa-i (
datuk Hamka) tetap mengamal Thariqat Naqsyabandiyah, istiqamah mengikut
Mazhab Syafie. Pemahaman Islam Tuan Kisa-i sama dengan pegangan ‘Kaum
Tua’, tetapi pada zaman beliau istilah ‘Kaum Tua’ dan ‘Kaum Muda’ belum
tersebar luas. Anak beliau, Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah, adalah
seorang pelopor dan termasuk tokoh besar dalam perjuangan ‘Kaum Muda’.
Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah menolak amalan Thariqat Naqsyabandiyah,
sekali gus menolak ikatan ‘taqlid’, tetapi lebih cenderung kepada
pemikiran Syeikh Muhammad Abduh. Manakala ibunya pula bernama Siti
Safiyah Binti Gelanggar yang bergelar Bagindo nan Batuah. sekembalinya
dari Makkah pada tahun 1906.
Menurut
sejarahnya, bapak beliau pernah dibuang daerah oleh penjajah Belanda ke
Sukabumi dalam tahun 1941 lantaran fatwa beliau yang dianggap
membahayakan penjajah dan keselamatan umum. Haji Abdul Karim adalah tuan
guru kepada Sheikh Haji Ahmad Jelebu[1] yang riwayat hidupnya turut
disajikan dalam koleksi ini. Beliau meninggal dunia pada 21 Jun 1945.
Hamka mendapat
didikan dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan seperti filsafat, sastra,
sejarah, sosiologi dan politik, baik Islam maupun Barat. Dengan
kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau dapat menyelidiki karya
ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji
Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal. Melalui
bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggris dan
Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold
Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti. Hamka juga rajin
membaca dan bertukar-tukar pikiran dengan tokoh-tokoh terkenal Jakarta
seperti HOS Tjokroaminoto, Raden Mas Surjopranoto, Haji Fachrudin, Ar
Sutan Mansur dan Ki Bagus Hadikusumo sambil mengasah bakatnya sehingga
menjadi seorang ahli pidato yang handal.
Hamka juga aktif
dalam gerakan Islam melalui organisasi Muhammadiyah. Beliau mengikuti
pendirian Muhammadiyah mulai tahun 1925 untuk melawan khurafat, bidaah,
tarekat dan kebatinan sesat di Padang Panjang. Mulai tahun 1928, beliau
mengetuai cabang Muhammadiyah di Padang Panjang. Pada tahun 1929, Hamka
mendirikan pusat latihan pendakwah Muhammadiyah dan dua tahun kemudian
beliau menjadi konsul Muhammadiyah di Makassar. Kemudian beliau terpilih
menjadi ketua Majlis Pimpinan Muhammadiyah di Sumatera Barat oleh
Konferensi Muhammadiyah, menggantikan S.Y. Sutan Mangkuto pada tahun
1946. Beliau menyusun kembali pembangunan dalam Kongres Muhammadiyah
ke-31 di Yogyakarta pada tahun 1950.
Pada tahun 1953,
Hamka dipilih sebagai penasihat pimpinan Pusat Muhammadiah. Pada 26 Juli
1977, Menteri Agama Indonesia, Prof. Dr. Mukti Ali melantik Hamka
sebagai ketua umum Majlis Ulama Indonesia tetapi beliau kemudiannya
meletak jawatan pada tahun 1981 karena nasihatnya tidak dipedulikan oleh
pemerintah Indonesia.
Kegiatan politik
Hamka bermula pada tahun 1925 ketika beliau menjadi anggota partai
politik Sarekat Islam. Pada tahun 1945, beliau membantu menentang usaha
kembalinya penjajah Belanda ke Indonesia melalui pidato dan menyertai
kegiatan gerilya di dalam hutan di Medan. Pada tahun 1947, Hamka
diangkat menjadi ketua Barisan Pertahanan Nasional, Indonesia. Beliau
menjadi anggota Konstituante Masyumi dan menjadi pemidato utama dalam
Pilihan Raya Umum 1955. Masyumi kemudiannya diharamkan oleh pemerintah
Indonesia pada tahun 1960. Dari tahun 1964 hingga tahun 1966, Hamka
dipenjarakan oleh Presiden Sukarno karena dituduh pro-Malaysia. Semasa
dipenjarakanlah maka beliau mulai menulis Tafsir al-Azhar yang merupakan
karya ilmiah terbesarnya. Setelah keluar dari penjara, Hamka diangkat
sebagai anggota Badan Musyawarah Kebajikan Nasional, Indonesia, anggota
Majelis Perjalanan Haji Indonesia dan anggota Lembaga Kebudayaan
Nasional, Indonesia.
Selain aktif dalam
soal keagamaan dan politik, Hamka merupakan seorang wartawan, penulis,
editor dan penerbit. Sejak tahun 1920-an, Hamka menjadi wartawan
beberapa buah akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam
dan Seruan Muhammadiyah. Pada tahun 1928, beliau menjadi editor majalah
Kemajuan Masyarakat. Pada tahun 1932, beliau menjadi editor dan
menerbitkan majalah al-Mahdi di Makasar. Hamka juga pernah menjadi
editor majalah Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.
Hamka juga
menghasilkan karya ilmiah Islam dan karya kreatif seperti novel dan
cerpen. Karya ilmiah terbesarnya ialah Tafsir al-Azhar (5 jilid) dan
antara novel-novelnya yang mendapat perhatian umum dan menjadi buku teks
sastera di Malaysia dan Singapura termasuklah Tenggelamnya Kapal Van
Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan Merantau ke Deli.
Hamka pernah
menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa
seperti anugerah kehormatan Doctor Honoris Causa, Universitas al-Azhar,
1958; Doktor Honoris Causa, Universitas Kebangsaan Malaysia, 1974; dan
gelar Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno dari pemerintah Indonesia.
Hamka telah pulang
ke rahmatullah pada 24 Juli 1981, namun jasa dan pengaruhnya masih
terasa sehingga kini dalam memartabatkan agama Islam. Beliau bukan
sahaja diterima sebagai seorang tokoh ulama dan sasterawan di negara
kelahirannya, malah jasanya di seluruh alam Nusantara, termasuk Malaysia
dan Singapura, turut dihargai.
Pendidikan
Hamka mendapat
pendidikan rendah di Sekolah Dasar Maninjau sehingga kelas dua. Ketika
usia HAMKA mencapai 10 tahun, ayahnya telah mendirikan Sumatera Thawalib
di Padang Panjang. Di situ Hamka mempelajari agama dan mendalami bahasa
Arab. Hamka juga pernah mengikuti pengajaran agama di surau dan masjid
yang diberikan ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad
Rasyid, Sutan Mansur, R.M. Surjopranoto dan Ki Bagus Hadikusumo. Masa
kecilnya, seperti kanak-kanak lain beliau juga dikatakan lasak dan
nakal. Ini diceritakan sendiri oleh Sheikh Haji Ahmad Jelebu bahawa
Hamka pernah menyimbah air kepada penuntut lain semasa mengambil wuduk.
Selepas itu beliau berguru pula kepada Sheikh Ibrahim Musa di Bukit
Tinggi. Dalam tahun 1924, Hamka berhijrah ke Jawa sempat menuntut pula
kepada pemimpin gerakan Islam Indonesia seperti Haji Omar Said
Chakraminoto. Lain-lain gurunya ialah Haji Fakharudin, Ki Bagus, Hadi
Kesumo dan iparnya sendiri Rashid Sultan Mansur.
Pekerjaan
Hamka mula-mula
bekerja sebagai guru agama pada tahun 1927 di Perkebunan Tebing Tinggi,
Medan dan guru agama di Padang panjang pada tahun 1929. Hamka bergiat
aktif bagi menentang gejala khurafat, bidaah dan kebatinan sesat di
sana. Beliau menubuhkan Madrasah Mubalighin pada 1929 dan dua
berikutnya, Pak Hamka berpindah pula ke Kota Makasar, Sulawesi untuk
menjadi pimpinan Muhamadiah.
Hamka kemudian
dilantik sebagai dosen di Universitas Islam, Jakarta dan Universitas
Muhammadiyah, Padangpanjang dari tahun 1957 hingga tahun 1958. Setelah
itu, beliau diangkat menjadi rektor Perguruan Tinggi Islam, Jakarta dan
Profesor Universitas Mustopo, Jakarta. Dari tahun 1951 hingga tahun
1960, beliau menjabat sebagai Pegawai Tinggi Agama oleh Menteri Agama
Indonesia, tetapi meletakkan jabatan itu ketika Sukarno menyuruhnya
memilih antara menjadi pegawai negeri atau bergiat dalam politik Majlis
Syura Muslimin Indonesia (Masyumi).
Keilmuan dan
ketokohan yang ada pada beliau mendorong beberapa buah universiti
mengambilnya sebagai pensyarah dalam bidang agama dan falsafah. Antara
universiti itu ialah Universiti Islam Jakarta, Universiti Mohamadiah
Sumatera Barat, Universiti Islam Pemerintah di Jogjakarta dan Universiti
Islam Makasar. Bagi mengiktiraf keilmuannya, Universiti Al Azhar, Mesir
telah menganugerahkan Doktor Kehormat dalam tahun 1958 dan beliau turut
menerima ijazah Doktor Persuratan UKM pada 7 Jun 1974.
Karya Buya Hamka
Keistimewaan Pak
Hamka ialah kebolehannya menulis novel dan menghasilkan kitab-kitab
agama yang terkenal. Berikut ialah beberapa buah buku karangan tersebut:
1. Khatibul Ummah, Jilid 1-3. Ditulis dalam huruf Arab.
2. Si Sabariah. (1928)
3. Pembela Islam (Tarikh Saidina Abu Bakar Shiddiq),1929.
4. Adat Minangkabau dan agama Islam (1929).
5. Ringkasan tarikh Ummat Islam (1929).
6. Kepentingan melakukan tabligh (1929).
7. Hikmat Isra’ dan Mikraj.
8. Arkanul Islam (1932) di Makassar.
9. Laila Majnun (1932) Balai Pustaka.
10. Majallah ‘Tentera’ (4 nomor) 1932, di Makassar.
11. Majallah Al-Mahdi (9 nomor) 1932 di Makassar.
12. Mati mengandung malu (Salinan Al-Manfaluthi) 1934.
13. Di Bawah Lindungan Ka’bah (1936) Pedoman Masyarakat,Balai Pustaka.
14. Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (1937), Pedoman Masyarakat, Balai Pustaka.
15. Di Dalam Lembah Kehidupan 1939, Pedoman Masyarakat, Balai Pustaka.
16. Merantau ke Deli (1940), Pedoman Masyarakat, Toko Buku Syarkawi.
17. Margaretta Gauthier (terjemahan) 1940.
18. Tuan Direktur 1939.
19. Dijemput mamaknya,1939.
20. Keadilan Ilahy 1939.
21. Tashawwuf Modern 1939.
22. Falsafah Hidup 1939.
23. Lembaga Hidup 1940.
24. Lembaga Budi 1940.
25. Majallah ‘SEMANGAT ISLAM’ (Zaman Jepun 1943).
26. Majallah ‘MENARA’ (Terbit di Padang Panjang), sesudah revolusi 1946.
27. Negara Islam (1946).
28. Islam dan Demokrasi,1946.
29. Revolusi Pikiran,1946.
30. Revolusi Agama,1946.
31. Adat Minangkabau menghadapi Revolusi,1946.
32. Dibantingkan ombak masyarakat,1946.
33. Didalam Lembah cita-cita,1946.
34. Sesudah naskah Renville,1947.
35. Pidato Pembelaan Peristiwa Tiga Maret,1947.
36. Menunggu Beduk berbunyi,1949 di Bukittinggi,Sedang Konperansi Meja Bundar.
37. Ayahku,1950 di Jakarta.
38. Mandi Cahaya di Tanah Suci. 1950.
39. Mengembara Dilembah Nyl. 1950.
40. Ditepi Sungai Dajlah. 1950.
41. Kenangan-kenangan hidup 1,autobiografi sejak lahir 1908 sampai pd tahun 1950.
42. Kenangan-kenangan hidup 2.
43. Kenangan-kenangan hidup 3.
44. Kenangan-kenangan hidup 4.
45. Sejarah Ummat Islam Jilid 1,ditulis tahun 1938 diangsur sampai 1950.
46. Sejarah Ummat Islam Jilid 2.
47. Sejarah Ummat Islam Jilid 3.
48. Sejarah Ummat Islam Jilid 4.
49. Pedoman Mubaligh Islam,Cetakan 1 1937 ; Cetakan ke 2 tahun 1950.
50. Pribadi,1950.
51. Agama dan perempuan,1939.
52. Muhammadiyah melalui 3 zaman,1946,di Padang Panjang.
53. 1001 Soal Hidup (Kumpulan karangan dr Pedoman Masyarakat, dibukukan 1950).
54. Pelajaran Agama Islam,1956.
55. Perkembangan Tashawwuf dr abad ke abad,1952.
56. Empat bulan di Amerika,1953 Jilid 1.
57. Empat bulan di Amerika Jilid 2.
58. Pengaruh ajaran Muhammad Abduh di Indonesia (Pidato di Kairo 1958), utk Doktor Honoris Causa.
59. Soal jawab 1960, disalin dari karangan-karangan Majalah GEMA ISLAM.
60. Dari Perbendaharaan Lama, 1963 dicetak oleh M. Arbie, Medan; dan 1982 oleh Pustaka Panjimas, Jakarta.
61. Lembaga Hikmat,1953 oleh Bulan Bintang, Jakarta.
62. Islam dan Kebatinan,1972; Bulan Bintang.
63. Fakta dan Khayal Tuanku Rao, 1970.
64. Sayid Jamaluddin Al-Afhany 1965, Bulan Bintang.
65. Ekspansi Ideologi (Alghazwul Fikri), 1963, Bulan Bintang.
66. Hak Asasi Manusia dipandang dari segi Islam 1968.
67. Falsafah Ideologi Islam 1950(sekembali dr Mekkah).
68. Keadilan Sosial dalam Islam 1950 (sekembali dr Mekkah).
69. Cita-cita kenegaraan dalam ajaran Islam (Kuliah umum) di Universiti Keristan 1970.
70. Studi Islam 1973, diterbitkan oleh Panji Masyarakat.
71. Himpunan Khutbah-khutbah.
72. Urat Tunggang Pancasila.
73. Doa-doa Rasulullah S.A.W,1974.
74. Sejarah Islam di Sumatera.
75. Bohong di Dunia.
76. Muhammadiyah di Minangkabau 1975,(Menyambut Kongres Muhammadiyah di Padang).
77. Pandangan Hidup Muslim,1960.
78. Kedudukan perempuan dalam Islam,1973.
79. Tafsir Al-Azhar Juzu’ 1-30, ditulis pada masa beliau dipenjara oleh Sukarno.
Majalah
* Kemahuan Zaman ( 1929)
* Al Mahdi ( 1933)
* Pendoman Masyarakat ( 1936 – 1942)
* Semangat Islam ( 1944- 1948)
* Menara ( 1946-1948)
* Panji Masyarakat ( 1959)
Hasil tulisan
beliau ini banyak memberi petunjuk dan ilham kepada para pembacanya.
Malah karya-karya Almarhum Pak Hamka mampu membangkit semangat
perjuangan seperti karya-karyanya dalam majalah selepas perang. Majalah
Panji Masyarakat sendiri telah telah diharamkan oleh pemerintahan
Sukarno dalam tahun 1960 iaitu setahun selepas penerbitannya.
Bagaimanapun, majalah ini diterbitkan semula dalam pemerintahan order
baru Suharto tahun 1966.
Pak Hamka pernah
dipenjarakan awal tahun 1960an. Zaman pemerintahan Sukarno dan ketika
kominis bermaharajalela, selain ditangkap buku-buku Almarhum ada yang
dibakar. Di dalam penjara inilah, beliau melahirkan kitab Tafsir Al
Azhar yang menjadi bacaan ummah sekarang. Penahanan batang tubuhnya
dalam sangkar besi itu tidak dapat membunuh semangatnya untuk beribadah
kepada Tuhannya.
Penyusun pernah
membaca kisah riwayat Presiden Sukarno yang penuh kontroversi itu.
Dinyatakan apabila bekas Presiden itu meninggal dunia, Pak Hamka telah
dijemput dan dirayu supaya mengimami sholat jenazah Sukarno. Peringkat
awalnya, Almarhum agak keberatan menunaikannya kerana sikap Sukarno masa
hidupnya amat dipertikaikan. Namun apabila teringat tentang sifat Allah
yang Maha Pengampun untuk mengampun dosa-dosa hambaNya. Buya Hamka maju
juga ke hadapan untuk mengetuai sholat jenazah itu, dikatakan saat
akhir hidupnya Sukarno mulai kembali kepada fitrah mengingati
penciptanya.
Berdakwah
Penyusun amat
bersetuju dengan pandangan bahawa Pak Hamka adalah tokoh Ulama besar dan
pendakwah tersohor yang pernah dilahirkan untuk abad kedua puluh di
Nusantara ini. Kewalian dan sifat karamah maknawiyah yang dimilikinya,
mampu menyentuh hati dhamir ribuan insan yang mendengar kata bicaranya
yang lunak dan menyegarkan. Penyusun ingin mengutip tulisan Saudara
Abdul Ghani Said,[2] penyusun buku “ 7 wali Melayu” bahawa Keistimewaan
karamah maknawiyah antara lain ialah kata-katanya memberi kesan pada
hati pendengar hingga mendorong orang membuat perubahan pada jalan
kebaikan..”
Kekuatan minda dan
kefasihan lidahnya untuk berdakwah dengan susun kata yang memukau
jarang dimiliki oleh kebanyakan pendakwah. Kalau ada kisah tentang
burung boleh berhenti terbang di udara apabila mendengar kemerduan
bacaan Kitab Zabur oleh Nabi Daud A.S, maka Buya Hamka juga mempunyai
magnet yang boleh meruntun jiwa pendengarnya untuk melabuhkan punggung
mendengar sebentar ceramah dakwahnya. Hati yang keras bisa terlunak dan
terpegun. Memang Allah memberi keistimewaan besar kepadanya iaitu
senjata sulit berdakwah dengan lidahnya.
Di Negara kita,
Pak Hamka sering juga berkunjung dan memenuhi undangan untuk berceramah
termasuk di kaca TV hingga awal tahun 1980an. Beliau sering diundang
menyertai muktamar Islam peringkat antarabangsa dan pernah berdakwah
hingga ke Benua Eropah dan Amerika Syarikat. Kata Dr H. Ibnu Sutowo,
hampir kesemua perjalanan hidupnya di dunia ini dimaksudkan untuk agama.
Kembali Ke Rahmatullah
Ulama istimewa ini
kembali menemui Al Khaliqnya sewaktu berusia 72 tahun pada 24 Julai
1981 jam 11.10 pagi waktu Malaysia. Almarhum dipercayai mengalami
serangan penyakit jantung. Penyusun berharap agar paparan kisah hidup
tokoh nusantara yang agong ini dapat mengimbau kembali kenangan kita
terhadap Pak Hamka yang dikasihi dan kita tidak rugi apabila mengingati
orang-orang yang soleh kerana ia boleh mendatangkan rahmah. Rasulullah
sendiri pernah bersabda yang bermaksud
“ Sesungguhnya
perbandingan ulama di bumi sepertilah bintang- bintang di langit yang
boleh dijadikan panduan di dalam kegelapan di bumi dan di laut..”
Golongan yang cuba
mengelak diri dari mendampingi ulama atau memusuhi mereka yang ikhlas
untuk memandu kita di dunia ini perlulah berwaspada. Ingatlah,
peringatan Allah SWT dalam Hadith Qudsi :“ Barang siapa memusuhi waliKu (
ulama), maka Aku akan mengisytiharkan perang terhadapnya” ( Riwayat Al
Bukhari).
[1] Maklumat dari Haji Mahmud Fasih.
[2] Muka surat 11, buku “ 7 Wali Melayu”.
# Kenangan-kenangan 70 tahun Buya Hamka, terbitan Yayasan Nurul Islam, cetakan kedua 1979.
Post a Comment
Terimakasih bila Anda menuliskan komentar disini